Versi Bahasa Malaysia

Biografi

Liow Kong You, dilahirkan di Melaka. Saya menghadiri Imperial College London, UK dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang fizik teori pada 2018, kemudiannya menyertai University of Exeter, UK sebagai seorang calon Doktor Falsafah dalam bidang astrofizik. Penyelidikan saya melibat penggunaan simulasi berangka untuk menyiasat pembentukan kelompok bintang muda dan berjisim besar, terutamanya dari pelanggaran awan molekul gergasi.

Penyelidikan

Kelompok bintang muda dan berjisim besar (YMC) merupakan objek astronomi yang baru terbentuk di galaksi. Objek tersebut biasanya dianggap sebagai blok asas pembentukan galaksi dan mempunyai kadar pembentukan bintang yang tinggi. Walau bagaimanapun, cara pembentukannya belum difahami sepenuhnya. YMC biasanya 10,000 kali lebih berjisim daripada matahari, dan juga 10,000 kali lebih padat daripada luar angkasa. Selain itu, umur YMC biasanya kurang daripada 100,000 tahun, amat muda jika dibandingkan dengan umur alam semesta. Disebabkan sifat-sifat tersebut, YMC berada di antara kelompok globul dan kelompok terbuka. Satu contoh YMC yang terkenal ialah Westerlund 1.

Dari sudut pencerapan dan teori, terdapat beberapa cara pembentukan YMC yang dicadangkan, tetapi fokus saya ialah mod pembentukan melalui pelanggaran awan molekul gergasi. Awan-awan tersebut boleh sebesar ratusan tahun cahaya dan berjisim sebanyak sejuta matahari, sebab itu terdapat gas yang mencukupi untuk pembentukan bintang jika awan-awan tersebut berinteraksi. Cara pembentukan ini boleh menerangkan sebab YMC kerap dicerap di galaksi yang berinteraksi dan kurang di galaksi yang tenang, contohnya Bima Sakti, kerana pelanggaran awan kerap berlaku dalam persekitaran yang amat dinamik.

Dalam kerja penyelidikan saya, saya mengguna PHANTOM, sebuah atur cara komputer astrofizik yang mengaplikasikan teori dinamik bendalir zarah berlicin untuk menjalankan simulasi berangka pelanggaran awan. Dengan penyelia saya, kami menganalisis keadaan awal pelanggaran awam, contohnya kelajuan pelanggaran, tahap pergolakan dan ketumpatan awan, lalu menyiasat keadaan yang terbaik untuk membentuk kelompok berjisim besar. Salah satu analisis saya melibatkan penggunaan algoritma analisis kluster untuk mengenal pasti kelompok bintang. Baru-baru ini, dengan serong ahli astrofizik, kami mengguna atur cara computer bernama AMUSE untuk menjalan semula simulasi-simulasi sebelumnya, supaya dapat membentuk kelompok bintang yang lebih tepat dan realistik.

Tekan sini untuk membaca artikel-artikel saya.

Nota: Nama orang telah diabaikan.